Tuesday, December 9, 2008

SALAM AIDIL ADHA

8/12/2008 - Umat Islam di Malaysia menyambut aidiladha. Alhamdulillah dengan izinNya abang telah memperuntukkan 2 bahagian untuk kami berdua. Atas idea abang mail kami membuat korban beramai-ramai. Maklumlah setelah ketiadaan emak, rumah tu semakin sunyi. Malam raya ngah sampai bersama-sama satey yang dibuat sendiri. Apa lagi, pagi raya aku dan kak azah sebok membakar satey untuk memastikan sekembali orang dari masjid, satey telah tersedia.
Dari awal pagi hujan turun. Satey yang dibakar lebih cepat lenyap dari pandangan disebabkan permintaan yang memberangsangkan. Jenuh juga nak bakar, lebih banyak tangan yang menunggu dari lidi satey yang telah siap dibakar. Tu dia, satey ayam, lembu dan kambing.
Aku bersiap-siap untuk melihat kerja-kerja korban dilakukan. Setibanya orang yang terakhir dalam kumpulan kami sampai iaitu Kak Mah dan Abang Noh sampai kami bergerak ke pusat ternakan. Kerja-kerja penyembelihan dilakukan dikawasan kandang itu. Labih kurang pukul 12, lembu yang dipilih telah selamat dikorbankan dan bergemanya azan zohor kerja melapah dan telah siap.
Kami bergerak balik ke rumah sementara menunggu hasil korban yang akan dihantar oleh pihak pengurusan disebabkan hujan. Aku menyambung untuk membakar satey disebabkan anak aku nak makan sementara abang sebok menolong orang melapah dan membahagikan daging.
Alhamdulillah, semuanya telah selamat dilakukan dengan sempurna.
Empat tahun dahulu dipagi raya ini aku dan abang berada di Mina dan bertolak ke jamrah untuk melontar. Walaupun ketika itu kami adalah kumpulan terakhir di maktab kami sampai di Mina dari Musdzalifah. Kami bertolak dari Musdzalifah selepas menunaikan solat subuh. Selepas meletakkan beg di khemah kami, abang mengajak aku untuk melontar. Kami pergi berdua iaitu di luar dari jadual tabung haji. Mak long ku tinggalkan dengan meminta pertolongan jemaah lain menjaganya.

Tuesday, November 18, 2008

Harapan tak kesampaian

Hari khamis sebelum cuti sekolah keputusan UPSR telah diumumkan. Kecewa memang kecewa. Aku rasa inilah pengalaman kekecewaan yang aku rasa.
Arif menelefonku lebih kurang 11.30 pagi. Dalam sendu ucapan 3A2B sayup-sayup kedengaran berselang-seli dengan tangisan. Target untuk mendapat 5A tidak kesampaian. Keputusan lebih kurang sama seperti keputusan yang lepas-lepas. Agak lama juga baru aku boleh terima hakikat. Ialah, ibu mana tak mahu anaknya berjaya. Aku harap dia dapat pengajaran dari apa yang dia perolehi.
Aku cuba untuk terima hakikat dan aku akan cuba untuk membantu anakku untuk lebih berjaya di masa hadapan.

Sunday, November 2, 2008

Rahsia

Pagi, selepas sarapan bi hoon goreng bersama milo aku dan abang pergi JB. Kami menggunakan penggangkutan awam. Saja nak naik bas. Almaklumlah dah lama tak naik. Hampir 1.30 baru kami balik. Sampai di rumah aku lihat tv dan kipas terbuka. Diharapkan anak-anak yang ditinggalkan ada di dalam, rupanya habuk pun tak ada. Budak-budak ni tak serik-serik. Inilah akibat kalau dah asyik main game terutamnya dengan budak sebelah rumah siapa lagi kalau bukan Chan Jia Eee. Apa lagi semua kena panggil dan kena duduk dalam bilik.

Oh ya, ada jamuan di rumah Fina Radzi dan Kak Som. Dah terlanjur tak balik kampung kami pergi. Agak mewah jamuan hari ini. Alhamdulillah....

Hari ini juga abang dan aku buat keputusan drastik. Ni dah fikir masak-masak kami buat keputusan. Nak tau apa....Abang dah ingatkan kepada aku dan anak-anak agar tidak dibocorkan rahsia ini. Walaupun kepada keluarga mertuaku. So aku tak boleh nak cerita di sini. Tunggu... sehingga impian kami termakbul. Diharapkan segala yang kami rancang akan berjaya begitu juga dengan rancangan untuk aku bekerja semula.

Thursday, October 30, 2008

Tak Tau Apa..

Syawal telah melabuhkan tirainya. Di akhir-akhir ini masih banyak jamputan dan undangan yang perlu dipenuhi. Malah di awal Dzulkaedah juga masih ada lagi undangan.

Alhamdulillah, sudah tertunai juga hajatku untuk menyempurnakan ibadah puasa. Sekurang-kurangnya tak perlu lagi aku memikirkan tentangnya.

Aku tak tau apa yang perlu aku perlu catakan. Dah lama kosong tak berisi...Mungkin sebok dengan group semejay dan alchemi menyebabkan aku tak sempat mengisi cerita di sini.

Tapi yang pasti aku masih lagi rindu dengan cerita dan berita..

Wednesday, October 8, 2008

BERAKHIR RAMADAN BERMULA SYAWAL

Kini telah berlalu 7 Syawal. Ahad lepas kami baru balik ke rumah kami sendiri, selepas mengadakan kenduri untuk Allahyarhamah emak. Hari raya kali ini memang terasa tak seronoknya. Aku tak dapat berjumpa dengan kakak sendiri walaupun sebelum raya kami berjumapa. Emak dah tiada. Terasa sangat sunyinya...Alhamdulillah sebelum 28 Ramadan dan 1 Syawal aku menziarahi pusaranya. Hanya sekalung doa dan sedekah yang dapat aku berikan. Bapak demam semasa hari raya, nampak tidak ceria. Aku faham tentu dia terasa sunyi. Walaupun semasa emak sakit, lain rasanya. Ramai sanak saudara datang berkunjung. Tapi kini banyak perbezaan.
Sekembali ke rumah terasa banyak perkara yang perlu aku lakukan. Langsir pintu bilik tak siap lagi, kuih raya belum berisi, bilik anak-anak malahan rumah ini juga rasanya tak sempurana lagi.
Selsema, batuk malah lelah pula yang aku hadapi. Ini gara-gara banyak minum air berais semasa berhari raya. Dah orang hidang tak kan pula aku nak tolak, nanti orang kata banyak pulak kerenahnya.

Wednesday, September 17, 2008

RAMADAN 2008

Diam tak diam sudah 17 Ramadan berlalu. Dek kerana kesebokan dan talian yang rosak tidak dapat aku catatkan perkara penting pada waktunya.

29 Ogos2008, Jumaat- IBUKU PERGI BUAT SELAMANYA
Emak, Ya Allah semoga emak ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Jadikan kuburnya salah satu dari taman-taman syurga, permudahkanlah perjalanan di alam barzahnya.

Deringan telefon selepas pukul 12 malam membuat hati aku tidak tenteram. Dua kali deringan tapi panggilan tidak dapat dijawab disebabkan talian rosak. Aku buat panggilan ke kampung menggunakan telefon mudah alih, "Emak dah tak ada"... itulah kata-kata yang aku dengar dari mulut kak Eton. Ya Allah!!...luluh rasanya hati, tapi aku kena tabahkan jua. Sesungguhnya ini adalah yang lebih baikuntuknya. 10 tahun sakit dan 2 tahun terlantar...dan pada hari yang mulia itu dia pergi buat selama-lamanya.

Terlalu banyak kenangan yang datang bila mengingatkan Allahyarhamah emak. Minta maaf sebab tak dapat menjaga emak dengan baik. Semoga Allah membalas jasa mereka-mereka yang menjaga emak dengan ikhlas dan jujur.
Teringat 2 tahun dulu aku ingat nak salin resepi yang emak ada, tapi tak kesampaian kerana tak lama selepas itu emak terlantar dan tidak dapat bersuara.

Emak, tahun ni kami tak dapat berjumpa dengan emak seperti kebiasaannya di pagi raya....Jika dulu anak-anakkulah penghibur semasa emak boleh bergerak dan berbicara, tapi kini semuanya tiada lagi...

Terlalu banyak kenangan yang terungkap dan dapat digambarkan dengan kata-kata.

Wednesday, August 13, 2008

Kesebokan...

Kini telah sepenuhnya title suri rumah untuk diriku. Disebabkan sudah terbiasa bekerja aku cuba untuk mecari/membuat sesuatu yang dapat memenuhi masaku. Nasib baik hari tu ada belajar menjahit, dapat juga aku praktikan ilmu yang aku pelajari. Sementelah lagi Kak Im pun ada memanggilku untuk menolongnya menjahit. Aku berani buat baju untuk budak-budak aje. Untuk orang tua belum berani lagi.

Aku tak tahu kenapa aku kerap naik angin bila berhadapan dengan anak sulungku. 9.9.08 dia bakal menduduki peperiksaan UPSR. Aku cuba buat yang terbaik untuk dia, tapi memang dia selalu menguji kesabaranku. Kalau bolah aku bukan saja mahu anak yang berjaya untuk dalam pelajaran tetapi juga berjaya dalam kehidupan, termasuk berjaya dalam menguruskan diri. Mengapa begitu sukar untuk membina disiplin diri.

Pagi tadi kereta abang buat ragam, kemungkinan besar disebabkan hujan lebat semalam. Selepas hantar abang ke tempat kerja, aku pergi ke workshop, lepas tu lari ke kota. Dalam sebok mengemas barang nak balik, ada panggilan dair Arif, tapi tak dapat aku berhubung dengannya. Rasanya hari ini tiada kelas tambahan. Cuba dapatkan bas yang terawal sebab takut dia menunggu lama. Ambilnya di sekolah, lalu singgah ke workshop untuk menjelaskan bayaran, hantar Arif ke rumah. Pergi pula ke sekolah Aiman, ambil Aiman dan Dada. Hantar Dada, dan dapat aku merehatkan diri sekejap. Pukul 3.15 p.m dah sebok hantar Arif ke sekolah agama. Dah terlanjur aku terus ke pejabat pos untuk melunaskan bil-bil yang dipertanggung jawabkan kepadaku. Kena tambah 5.20. Aiman kalau dah ke pasaraya pasti tak tinggal dengan jajannya. Call abang, masa yang sesuai untuk mengambilnya. Lalu aku terus ke Pasir Gudang. Ambil abang, balik, ambil kereta, lepas tu aku rasa tak larat nak masak. Singgah untuk beli lauk. Penat juga ya...

Sunday, August 3, 2008

Berakhirnya Sindarella

Selasa lepas berakhirnya cerita bersiri Sindarella (betul ke ejaan aku?). Tak kisah la...macam mana ejaannya. Aku dan anak-anak suka menontonnya. Walaupun rasa tak logik, tapi sebab dia tak terlalu berat dan tak banyak kerenah, aku senang mengikutinya.

Cerita berkenaan seorang "pen kid" yang merupakan kerabat diraja berubah penampilan apabila perasaannya diperlekehkan.Walaupun aku dah jangkakan kesudahan ceritanya, tapi rasa ingin tahu dan penutup cerita yang telah diikuti aku sanggup menonton bersama-sama Arif dan Amal.

Yang paling aku suka petikan di akhir cerita:

" Untuk orang yang bercinta,

cinta tidak semestinya bersatu,

terutamanya cinta pertama"

dalam maknanya tu.

Ada persamaan dengan aku?... Tak kot..tak sempat la

Hakikatnya, setiap kejadian ada hikmah..dan yang pasti sebagai hamba aku "reda", dengan setiap ketentuan.

Monday, July 28, 2008

HAPPY BIRTHDAY....AIMAN

Hari ini hari ulangtahun kelahiran Aiman. Pagi tadi aku sempat pergi jogging selepas menghantar Aiman di sekolahnya. Balik, sambil basuh baju aku mengemaskan bungkusan makanan (jajan) untuk kawan-kawannya. Melihat jam di tangan, sahlah aku dah terlewat. Siap berkemas aku ke Jusco mencari kek untuk dihantar ke sekolah. Sampai di sekolah sudah pukul 11 lebih....

Aiman,
Ibu sayang Aiman. Aiman anak yang rajin, baik dan bijak. Semoga Aiman akan menjadi anak yang yang soleh, berjaya di dunia dan akhirat. Dan jangan lupa untuk mendokan ayah dan ibu.

Friday, July 18, 2008

PERTANDINGAN

Robotik,
Mendapat tempat ke sebelas. Itu, dia.... Rabu lepas Arif menyertai pertandingan robotik di Sek. Men. Taman Sutera, Skudai. Setelah sekian lama berlatih itulah hasilnya. Tahniah, walaupun tak berjaya. Tempat ke 11 daripada 40 pasukan kira oklah tu. Pertukaran ketinggian robot di saat akhir mungkin salah satu sebabnya.

Dikir Barat.
Hari rabu depan Akmal pula akan menyertai pertandingan dikir barat version bahasa arab. Bukan main bersungguh-sungguh anak keduaku untuk masuk pertandingan.
Madrosati....Madrosati.....
Itu aje yang aku tau pembukaan nanyaiannya...
Anakku tu kuat rajuknya..tapi jujur orangnya

Thursday, July 17, 2008

Sepasang Baju Melayu

Aku rasa hari ni aku akan menyiapkan seluar untuk anakku. Macam tak sangka pula, akhirnya aku dapat manyiapkan sepasang baju melayu cekak musang berkat ajaran Kak Imm. Berbaloi juga belajar walaupun lambat macam kura-kura tapi hasilnya Alhamdulillah.

Setiap pagi aku akan ke KT untuk belajar menjahit selepas aku menghantar Aiman ke tadika. Itupun sekiranya tiada perkara lain yang mustahak.Parkir kereta di hadapan stesen minyak kemudian menaiki bas. Tambang kadang-kala RM2.50 dan kadang-kala RM2.60 sehala. Bergantung kepada driver bas. Maklumlah harga minyak dah naik dari RM1.92 ke RM2.70. Kalau aku memandu sendiri mau RM15 sehari campur perjalanan menghantar anak-anak. Not so bad juga sebab aku menghala ke KT, tidak jam kalau tiada apa-apa berlaku.Lepas ni aku ingat nak belajar baju kurung pahang. Macam cantik aje.

Friday, May 16, 2008

SELAMAT HARI IBU

11 May 2008. Selamat hari ibu untuk semua yang bergelar ibu.

Sabtu lepas aku ke rumah angah sempena "house warming" di kuartes guru Pengkalan Raja.

Ahadnya aku berada di kg sawah, emak masak rendang iaitu lauk wajib di samping sup tulang rusuk yang kami beli di pasar lambak pekan nanas.

Sebelum makan aku dikejutkan dengan SMS dari kak Eton mengatakan Ngah berada di hospital kerana dibelasah orang. Panik juga, kenapa sampai kena belasah? Lepas makan kami terus bergerak untuk menziarahi ngah. Sampai di hospital Kulai pukul 1.15, ngah belum dimasukkan ke wad selepas kembali dari Hosital Tun Aminah. Pukul 2 baru dia dimasukkan ke wad. Kesian sungguh dia, muka bengkak sana sini, luka di sana sini. Alhamdulillah scan mengatakan tiada pendarahan dalaman.

Rupanya dia dirompak semasa baru untuk memulakan perniagaan sarapan paginya. Lebih kurang pukul 6 .15 . Kadang kala aku terfikir, betapa teganya budak itu buat kakak aku macam itu. Seperti kata ngah, kalau kau nak duit ambil saja tak perlu cederakannya. Nafsu mengatasi pemikiran, kalau diikutkan caranya macam cubaan untuk membunuh. Nasib baik pisau yang diggunakan yang diambil dari dapur ngah tak berapa tajam, kalau tidak tak taulah apa yang terjadi. Bayangkan orang yang makan di gerai ngah mostly setiap hari makan di situ sanggup buat ngah macam itu.
Aku tak dapat bayangkan kalau aku kena sepertinya, sudahlah ditikam beberapa kali dengan pisau, diketuk oleh kayu pencanai...Disebabkan beberapa ratus itulah hidup tak akan menjadi tenang, lebih-lebih lagi sudah jadi buruan polis.

Kesian ngah... Sudahlah dari dulu sampai sekarang hidup tak pernah senang. Dengan kudrat sebagai seorang ibu tunggal membesarkan anak-anak tanpa bantuan sesiapa. Anak pun satu, tak ada kesedaran untuk membantu emak sendiri, dah ditakdirkan kejadian ini kalau tak sedar tak taulah...Ngah, semoga ngah cepat sembuh, hidup dengan aman dan senang... Nak membantu dari segi kewangan tak terbantu, apa yang terdaya sahaja, dan yang penting doa untuk ngah lebih utama.

Friday, May 9, 2008

BOSAN

Bosan?...
Entahlah.... Tapi bosan itu telah mula menjengah hidupku.
Keadaan ini semasa aku masih lagi kerja secara kontrak. Tak taulah bila aku sudah duduk di rumah sepenuh masa. Aku kena cari sesuatu untuk mengisi kekosongan ini.

Aduhai anakku...
Anakku yang sulung bakal menduduki peperiksaan UPSR tahun ini. Dulu aku ingat aku boleh mengajar dan mengawalnya, rupannya aku silap. Bila aku terlalu mengawalnya, aku sendiri yang naik angin. Apa yang aku perhatikan, dia lebih berminat sekiranya dia bersama-sama kawan-kawannya. Tak mengapa, aku beri peluang kepadanya. Kita lihat macam mana kesudahannya.

Robotik
Dalam masa sebok membuat persediaan untuk peperiksaan, anakku sebok juga dengan projek robotik sekolahnya. Dia kata dia selalu pergi ke projek robotik, maka banyak nota dan pelajarannya yang teringgal. Aku harap dia dapat membawa kedua-duanya sekali.
Sebagai seorang ibu, aku harap yang terbaik untuknya.

Saudaraku...
Kenapa sikap dan kelakuanmu berubah setelah berumahtangga? Dulu, semasa di hari persandinganmu aku cuba buat tidak tahu perkara yang berlaku. Aku cuba tolong seberapa yang mampu sementelah kau pun telah banyak membantuku. Walaupun aku ada terasa hati, tapi terdetik tu tetap ada. Tapi tidak ku sangka, semakin lama lagi parah yang ku rasa. Aku tahu aku bukan anak yang paling rajin, tapi beri aku peluang bukan dengan bahasa yang pedas..Zaman sekarang, bahasa kisan dah jarang diggunakan. Terus terang sahaja itu lebih baik. Walau bagaimanapun aku doakan moga rumahtanggamu bahagia, aman dan sentosa...

Hari Ibu...
Ahad ini 11/05/2008 adalah hari ibu.
Untuk aku, dan semua ibu-ibu di luar sana aku ucapkan selamat hari ibu dengan ucapan yang tak terkata....

Friday, April 11, 2008

TIGA BULAN BERLALU

Dah 3 bulan kontrakku dengan majikan telah berlalu. Bermacam-macam pengalaman dari menjadi seorang ketua, sehinggalah aku hanya sebagai penasihat sahaja.
Dia mengatakan tak suka jumpa aku. Terpukul juga dengan kata-kata. Maklumlah aku dibayar gaji untuk membantu, bukan untuk goyang kaki. Mungkin rasa tanggungjawab masih ada. Aku perlu buat sesuatu.
Alhamdulillah...ada keberkesannya...

9 h.b April, aku mendapat cek sebagai bayaran perkhidmatan kontrakku untuk bulan January dan March..Bayangkan, punyalah bertahun untuk mendapat bayaran......terima kasih kepada wawa.. mungkin dengan kiasan kepada yang berkenaan, aku mendapat bayaran. Bukan aku tak minta, tapi aku dah naik malu. Kad plastik aku perlu dibayar...nasib baik elaun yang abang beri boleh menampung perbelanjaanku yang lain-lain.

Untuk sambung lagi?...Oh.. mungkin tidak.
Whatever you said boss... that is enough...Tak sangup den..berhadapan dengan karenah..

Hidupku sebagai suri rumah (house manager)..
He...He..He....penat ada, geram ada, lawak pun ada.
Seperti yang abang kata.. everything dah disubkontrakkan pada aku. Bayangkan,... kadang kala bengang juga. Anak-anak lagi lah.. Sekali cakap, buat tak tentu lagi. Wahai anak-anak, Kesianilah ibu kalian ini.

Walaubagaimanapun, aku doakan yang terbaik untuk keluargaku, semoga bertambah kasih sayang dan ikatan kekeluargaan kita. Anak-anak, ibu doakan kalian menjadi anak yang soleh dan berjaya di dunia dan akhirat.

Friday, February 29, 2008

PEMBUKAAN 2008

Sudah hampir 2 bulan aku menjadi pekerja kontrak. Kata orang "suri rumah separuh masa". Masuk pukul 9 balik pukul 12, kalau aku cuti kena ganti dan sebab itu kadang kala aku balik pukul 1.
Jadual aku:

8.00 - Hantar Aiman dan Dada ke tadika At-Tasneem
9.00 - Sampai office, kerja lepas tu
12.00 atau 1.00 balik. Singgah rumah sekejap buat apa yang patut, menyapu ke, angkat jemuran ke dll.
2.00 - Ambil Arif dulu atau Aiman dan Dada. Hantar Dada ke rumahnya.
Balik rumah makan, kadang kala boleh lelap untuk seminit dua (bukannya nak lama)
3.15 - Hantar Arif ke sekolah agama. Lepas tu pergi kedai atau terus balik rumah.
4.00 - Lipat baju, basuh baju sekolah anak esp yang putih.
5.00 - Masak atau buat kerja-kerja lain yang patut.
Malam tak usah cakap le. Ada aje kerja yang nak dibuat, yang pasti kalau satu hari tak dengar suara aku bising tak sah.

Bos cakap aku as a consultant. Tapi aku rasa aku ni bukan consultant tapi macam kuli aje. Kadang kala aku rasa aku masih gila kuasa. Kerja tetap sama macam dulu, tapi itula.. "angin" aku ni kadang-kala naik juga.

Aku tak faham la orang muda ni. Pada aku kebanyakkannya mereka ni cepat sangat nak "kuasa" tapi tak nak belajar susah. Apa yang aku cakap bukan nak ikut. Nak ikut kepala dia aje. Aku ni masih ada di sini. Kalau ia pun tunggulah bulan July. Masa tu aku dah tak ada, nak buat apa suka hati lah. Aku punyalah susah nak belajar, 10 tahun tau dah dapat ilmu, dah tu banyak yang aku kena dapatkan sendiri. Ni tak senang-senang aje nak minta dari aku. Bukan aku kedekut ilmu tapi aku takut senang dapat senag pergi. Belajar kalau dipraktikan lebih senang nak mengingatinya. Itu yang kadang kala kalau aku marah aku tengok surat offer aku, job scope aku lebik kepada "advise.....". Bila aku tengok tu, lega sikit kepala ni....

Alhamdulillah, tak terkejut juga aku duduk di rumah, masih dapat kerja mengikut masa yang aku suka, dapat tengok anak-anak dan masih mendapat sedikit imbuhan.

Untuk anak-anak, ibu cuba buat yang terbaik untuk kalian.