Sunday, April 14, 2013

Cemburu

Sabtu lepas dapat juga jengah anak yang di asrama Kluang. Kesian, demam. Pagi tak dapat pergi ke kelas Darjah Khas kerana pergi hospital. Sampai pun dah pukul 4 petang. Almaklumlah, suami kerja separuh hari, dah tu nak kena menghadapi jam di Permas Jaya menuju ke bandar Johor Bahru.Sempat juga tanya anak keadaan di sekolah dan asrama. Anakku akan menjawab apa yang aku tanya, so bukan dia yang suka membawa cerita.

Mengikut kata anakku, ada budak yang tak sukakan dia. Budak yang tak suka dia tu siap tubuhkan kelab KAA, Kelab Anti Akmal di dalam kelas. Katanya budak tu tak sukakan dia sebab dia kata nama anakku selalu penceramah sebut masa ceramah Sains dan anakku berlagak pandai sebab setiap apa yang penceramah tu nak tunjukkan tujuannya, anakku itu dah tau sebabnya. Aku tanya lagi, ada tak perbuatan budak itu yang menyakitkan hati. Budak itu selalu meniup ketulan ais menggunakan straw minuman kepada anakku.



Sebenarnya semasa ceramah tersebut anakku itu duduk di bahagian tepi hadapan. Jadi masa penceramah tu tanya, anakku tu jawab. Lepas tu bila nak sebut nama, dia selalu sebut nama anakku kerana mungkin dia malas nak fikir nama lain. Dari dulu aku dah pesan dengan anakku itu, kalau pergi ceramah duduk di bahagian hadapan, disebabkan awak tu kecil adalah lebih baik duduk depan. Ilmu pun senang dapat. Pasal jawab soalan tu pula anakku suka baca buku sains, terutamanya buku komik pengemaraan Jepun. Itu yang katanya banyak yang dia dah tau. Itupun menjadi kebencian orang.

Baru tingkatan satu dah ada perangai macam ni, macam perasaan hasad saja. Cuba bayangkan kalau dah besar nanti. Seperti kata suamiku, kadang kala kita cuba bertindak dan belajar ke hadapan, tapi ada sahaja manusia yang tidak puas hati.

Apa yang boleh aku nasihatkan adalah, tak rugi tak layan orang macam tu. Jangan ambil hati dengan apa yang dia buat selagi apa yang dia buat tu tak mencacatkan kita. Banykkan bersabar dan berdoa moga orang-orang macam ini diberi petunjuk dan hidayah. Buat baik dengan orang. Semoga anakku akan terus tabah dan berjaya mengatasi masalah-masalah kecil seperti ini. Setiap apa yang berlaku akan mematangkan dia.

No comments: